Pengenalan

Pengemaskinian data gunatanah sentiasa giat dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan (PL) sebagai usaha melengkapkan pangkalan data. Data-data gunatanah dikumpul daripada Kajian Rancangan Pemajuan dan disimpan dalam pangkalan data PL. Ruang simpanan dan saiz data yang meningkat setiap tahun memerlukan satu sistem pengurusan pangkalan data yang lebih baik untuk menampung keperluan pengendalian saiz storan pangkalan data yang lebih besar.

Sistem Maklumat Perancangan Gunatanah Labuan (SMPGL) yang dicadangkan ini akan menyediakan satu platform pangkalan data yang komprehensif dan bersepadu bagi membolehkan kerja-kerja pengumpulan, pemantauan, verifikasi, integrasi dan perkongsian data antara agensi dilakukan secara atas talian.

Apa Itu SMPGL?

SMPGL dibangunkan untuk menyimpan, mengurus, mengemaskini, menganalisis dan membekalkan maklumat dan data gunatanah W.P Labuan. Sistem ini dibangunkan untuk memudahcara pengurusan maklumat gunatanah perancangan melalui aktiviti penyeragaman, pengemaskinian, perkongsian dan capaian maklumat dan data gunatanah perancangan secara atas talian. Ianya mewujudkan pangkalan data bersepadu yang teratur, seamless dan yang sentiasa dikemaskini untuk memudahkan perkongsian antara agensi melalui capaian secara atas talian.

SMPGL dibangunkan berasaskan ciri-ciri pembangunan aplikasi yang interaktif, responsif dan mesra pengguna. SMPGL membolehkan pengguna untuk membuat carian secara interaktif dan melakukan analisis mudah spatial. Disamping itu, SMPGL turut menyediakan pelbagai fungsi lain seperti paparan maklumat statistik, peta, carta atau grafik. Ia juga mempunyai pautan kepada aplikasi-aplikasi yang berkaitan dengan geospatial.